Pemberontakan Bokser di China 1900 - 1901

Pemberontakan Bokser di China 1900 - 1901 - Kegagalan pemerintah Dinasti Chi’ing untuk mengekalkan kedaulatan China daripada pengaruh kuasa Barat telah memberi ruang kepada penyaluran elemen kehidupan orang asing di Tanah Besar China ini. Situasi ini menggambarkan pihak pemerintah tidak memiliki formula untuk menghalang pengaruh kuasa Barat berkembang di China. 

Sejak kekalahan China dalam Perang Candu I & II, China harus menerima tuntutan kuasa Barat untuk memiliki keistimewaan berdagang yang selama ini hanya dilakukan di Pelabuhan Canton. Malah, golongan mubaligh mendapat tempat istimewa apabila mereka diberi kebenaran untuk menyebarkan agama Kristian sehingga ke kawasan pedalaman China. 

Pemberontakan Bokser di China 1900 - 1901

Masyarakat tempatan menerima tempiasnya apabila lapangan ekonomi mereka dicabar daripada orang luar dan nilai tradisi mereka bakal terancam jika pemerintah China berdiam diri dengan keadaan ini. Kemuncak kepada permasalahan ini telah menyebabkan meletusnya Pemberontakan Boxer pada tahun 1900. Oleh itu, penulisan ini akan membincangkan perkara-perkara yang membawa kepada pemberontakan ini dan perkembangannya di China.

 Kelemahan dalam aspek ekonomi menjadi sandaran utama kepada tercetusnya Pemberontakan Boxer di China. Masyarakat asing menguasai ekonomi domestik melalui pembinaan industri kain kapas yang jauh lebih baik daripada kilang-kilang yang dijalankan oleh penduduk tempatan. 

Hasil keluaran industri kain kapas ini dijual dengan harga yang lebih murah menyebabkan kilang-kilang di China tidak mampu untuk hidup untuk tempoh yang lebih lama. Syarikat-syarikat asing mula mengambil bahagian dalam ekonomi di China dan kemasukan perkapalan asing memburukkan lagi tahap pencapaian ekonomi penduduk tempatan. 

Sejak daripada itu, beberapa industri di China terpaksa gulung tikar yang membawa kepada pembuangan pekerja. Pengangguran dalam kalangan penduduk tempatan semakin membimbangkan kerana mereka akan terdedah dengan aktiviti jenayah untuk mendapatkan wang. 

Ekonomi domestik di China yang merudum telah mendesak agar penduduk tempatan harus memikirkan kaedah untuk menyingkirkan penguasaan bangsa asing dalam wilayah mereka. Oleh itu, masyarakat petani yang menerima tempias daripada situasi buruk ini telah bersatu untuk melakukan bantahan dan menghalang penguasaan ekonomi China oleh masyarakat daripada luar.

Tidak selesai dengan isu berkaitan ekonomi, Pemberontakan Boxer turut disebabkan oleh perkembangan ajaran agama Kristian di China. Penduduk China bimbang akan keadaan ini kerana mampu mengancam kedudukan agama dan kepercayaan tradisi nenek moyang mereka seperti Konfusius, Taoism dan Buddha. 

Jika perkara ini dibiarkan, akan menyebabkan masyarakat China tidak lagi mengikuti prinsip ajaran tradisi yang telah sebati dalam kehidupan mereka. Oleh itu, mereka melihat penyebaran agama Kristian ini harus dikawal dan disekat daripada terus berkembang. 

Namun, bukan mudah bagi penduduk China untuk menyekat perkembangan ajaran Kristian kerana pemerintah asing ini telah diberi lesen untuk bebas berdakwah dan polisi Gun Boat memberi perlindungan kepada golongan mubaligh ini. Pertelingkahan agama sukar untuk dielakkan apabila terdapat masyarakat China yang telah berjaya dikristiankan oleh golongan mubaligh ini. 

Sebagai langkah untuk melindungi agama yang dianuti oleh penduduk tempatan ini, mereka telah menyebarkan tuduhan bahawa golongan mubaligh akan mencungkil mata kanak-kanak untuk tujuan membuat barangan logam yang berharga. Tuduhan yang dilemparkan ini bagi menarik perhatian penduduk tempatan tentang keburukan ajaran Kristian.

Permasalahan ekonomi dan agama yang semakin kritikal di China telah menyebabkan lahirnya satu gerakan sulit iaitu Gerakan Boxer atau Yi Ho Yuan untuk melakukan pemberontakan dan memberi ancaman kepada perkembangan ekonomi asing di China. Kebanyakan anggota organisasi ini terdiri daripada masyarakat petani dan penduduk di kawasan bandar. 

Organisasi ini merupakan satu pertubuhan yang lahir akibat masalah di China. Selain itu, ahli anggota Boxer ini tidak menyukai kegiatan masyarakat daripada luar yang tidak memahami sentimen yang dimiliki oleh masyarakat China. Misalnya, pembinaan jalan raya yang dijalankan oleh kuasa Barat telah menjejaskan kawasan tanah perkuburan nenek moyang mereka. 

Lebih menyedihkan lagi, haiwan ternakan mereka turut terkorban disebabkan aktiviti yang dianggap bahaya kepada penduduk tempatan. Bagi memberi tentangan kepada orang asing yang bersikap buruk di negara mereka, penduduk China ini telah mempelajari seni mempertahankan diri dan disertai dengan satu amalan khusus yang luar kebiasaan manusia iaitu ‘ritual’ yang memberi kuasa luar biasa kepada mereka. Kuasa ini mampu menghalang peluru menembusi anggota badan mereka, malahan pedang tidak akan mampu mencederakan mereka. Kepercayaan seperti ini menjadi katalis penting kepada kesungguhan mereka melawan kuasa asing di China.

Gerakan Boxer ini memulakan penentangan dengan melakukan kemusnahan atau kekacauan terhadap kepentingan kuasa Barat seperti jaringan Telegraph, jalan raya dan beberapa item yang mengejutkan kuasa asing ini. Mereka turut membunuh sesiapa sahaja yang terlibat dengan kegiatan mubaligh Kristian atau sudah pun memeluk agama Kristian. Pada 20 Jun 1900, Gerakan Boxer ini telah melakukan pembunuhan terhadap ribuan masyarakat Kristian China di Shanxi. 

Bukan itu sahaja, bagi menampakkan lagi kegarangan mereka menentang kuasa asing di China, mereka telah membunuh orang penting bagi kuasa asing, seperti Canselor Jepun, Sugiyama telah terkorban di Peking, Baron von Ketteler seorang menteri turut menjadi mangsa kepada serangan yang dilakukan oleh kumpulan Boxer ini. 

Anggota kumpulan Boxer ini menggunakan kehebatan mereka dalam seni mempertahankan diri disertai amalan atau jampi yang dikatakan mampu memberi kekebalan kepada diri mereka. Maharani Balu Tzu Hsi yang tidak menyukai orang asing turut berkomplot dalam gerakan ini dan menjadikan gerakan Boxer sebagai platform untuk menjatuhkan pemerintah asing di China. Namun, tidak semua pegawai yang menyukai tindakannya, menyebabkan gerakan Boxer sukar untuk menghapuskan kuasa asing di wilayah China.

Gerakan Boxer sukar untuk menentang kuasa asing apabila kuasa Barat seperti British, Jerman, Perancis, Itali, Rusia, USA dan Austria-Hungary membuat penentangan semula pada Jun 1900 di bawah pimpinan Admiral Edward Seymour. Beliau telah berjaya mematahkan Pemberontakan Boxer yang berlaku di China dengan sokongan kapal perang daripada tentera asing. 

Apabila mereka ingin menuju ke Peking, kumpulan Boxer telah menyekat tujuan mereka yang menyebabkan tentera pimpinan Admiran Edward Seymour berundur ke Tientsin. Setelah itu, mereka telah menyerang kubu tentera China dan berjaya menawan kubu berkenaan. Situasi ini memberi petanda kegagalan Pemberontakan Boxer di China. 

Malah, kepercayaan bahawa tubuh mereka tidak mampu ditembusi peluru melalui sokongan jampi telah mengecewakan mereka. Pertembungan tentera asing dengan kumpulan Boxer yang hanya menggunakan kehebatan diri sendiri telah membawa kepada kekalahan mereka kerana kuasa asing mempunyai persenjataan yang maju seperti senjata api yang bersifat moden dan bukannya tradisional. Ketiadaan pemimpin yang berwibawa turut menjadi faktor kegagalan pemberontakan Boxer di China. Sekali lagi, China terpaksa menerima permintaan yang dilakukan oleh kuasa Barat melalui Protokol Boxer pada 7 September 1901.

Pemberontakan Boxer merupakan salah satu usaha penduduk China membela nasib mereka daripada sikap kuasa asing yang berjaya menggugat kedaulatan wilayah mereka. Kelemahan ekonomi yang membawa kepada kebuluran, penyakit dan kekurangan makanan memaksa gerakan untuk memberontak dilakukan terhadap kuasa asing. 

Bencana alam yang melanda China pada waktu itu dikatakan berpunca daripada sikap masyarakat China yang meninggalkan ajaran nenek moyang mereka. Perkembangan agama Krisitian di China seakan membunuh ajaran dan kepercayaan yang telah mereka anuti selama ini. Gerakan Boxer yang berusaha untuk bangkit menentang kuasa luar tidak mampu untuk mencapai objektifnya. 
Kelekaan mereka dengan kepercayaan sesuatu jampi yang mampu memberi kekebalan kepada mereka yang diamalkan telah menghukum diri mereka. China, sekali lagi dimalukan di peringkat antarabangsa apabila Protokol Boxer ditandatangani pada tahun 1901. Satu lagi peristiwa pahit yang harus ditelan oleh penduduk China dalam menghadapi kuasa asing.

Berlangganan update artikel terbaru via email:

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel